Janji Untuk Dituntut Dalam Doa

Semua Ayat Alkitab adalah daripada Alkitab Berita Baik Bahasa Malaysia (BM) kecuali dinyatakan

 

Janji-Janji tentang Roh Kudus

“Mintalah TUHAN menurunkan hujan pada musim bunga. TUHAN yang mendatangkan awan mendung dan hujan sehingga padang menjadi hijau bagi setiap orang.” Zakaria 10:1

“Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!” Lukas 11:13

“Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu… Apabila Dia datang kelak, Dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan tentang hukuman Allah, semuanya salah.” Yohanes 14:26, 16:8

“Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan, bahkan dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya. Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.” Yohanes 14:12-14

Bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku, firman TUHAN semesta alam.” Zakaria 4:6 (ITB)

 

Janji-Janji bahawa Tuhan Akan Menjawab Doa-doa

“Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi.” Yohanes 15:7

“Oleh itu, marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan.” Ibrani 4:16

“Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu.” Markus 11:24

“Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkan kamu, dan kamu akan memuji Aku.” Mazmur 50:15

“Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga.” Matius 18:19

“Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.” Matius 21:22

“Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya. Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.” Yohanes 14:13, 14

“Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku. Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna.” Yohanes 16:23, 24

“Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya.” 1 Yohanes 5:14, 15

 

Janji-Janji Mengenai Kuasa Tuhan

“Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN?” Kejadian 18:14

“TUHAN akan berjuang untuk kamu. Kamu tidak perlu berbuat apa-apa.” Keluaran 14:14

“Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Markus 10:27

“Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia.” 1 Tesalonika 5:24

“Aku tahu, ya TUHAN, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu; Engkau dapat melakukan apa sahaja.” Ayub 42:2

“Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Markus 10:27

“Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain?” Roma 8:31,32

“Allah bukan manusia, Dia tidak berdusta; Allah bukan insan, Dia tidak mengubah fikiran. Apa yang dijanjikan-Nya akan dipenuhi-Nya; apa yang difirmankan-Nya pasti dilakukan-Nya.” Bilangan 23:19

“Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya. Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya. Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan. Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.” Yesaya 40:28-31

 

Janji-Janji Mengenai Pimpinan Dari Tuhan

“Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” Yosua 1:9

“Ingatlah, Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini. Aku tidak akan meninggalkan engkau sehingga Aku sudah melakukan segala sesuatu yang Kujanjikan kepadamu.” Kejadian 28:15

“Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.” Keluaran 23:20

“Di sana kelak kamu akan mencari TUHAN, Allah kamu, dan jika kamu mencari-Nya dengan segenap hati, kamu akan menemui Dia.” Ulangan 4:29

“Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui.” Yeremia 33:3

“Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakanlah tiap-tiap gunung. Bukit-bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan. Lalu keagungan TUHAN akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya. TUHAN sendiri telah menjanjikannya.” Yesaya 40:4, 5

“TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.” Mazmur 32:8

“TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.” Ulangan 31:8

“Orang yang taat kepada TUHAN akan ditunjukkan-Nya jalan yang harus ditempuh.” Mazmur 25:12

“Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.” Amsal 3:5, 6

“Jika kamu memberikan makanan kepada orang yang lapar, dan memenuhi keperluan orang yang tertindas, maka kegelapan di sekitar kamu akan menjadi seterang siang. Aku akan sentiasa memimpin kamu serta mengenyangkan kamu di tanah kering. Aku akan menjadikan kamu kuat dan sihat. Kamu akan menjadi seperti taman yang mendapat cukup air, dan seperti mata air yang tidak pernah kering.” Yesaya 58:10, 11

“Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka.” Yesaya 65:24

Janji-Janji Untuk Hati Yang Diubah

“Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah TUHAN. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka, kerana mereka akan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati.” Yeremia 24:7

“TUHAN, Allah kamu akan memberi kamu dan keturunan kamu hati yang taat supaya kamu akan mengasihi Dia dengan sepenuh hati, dan dapat tinggal terus di tanah itu.” Ulangan 30:6

“Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.” Yehezkiel 36:26

“Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali.”  Filipi 1:6

“Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula.” 2 Korintus 5:17

“Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku.” Galatia 2:20

“Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia.” 1 Tesalonika 5:23, 24

 

Janji-Janji Untuk Pengampunan

“Tetapi jika mereka berdoa kepada-Ku lalu bertaubat dan berhenti melakukan perbuatan jahat, maka dari syurga Aku akan mendengarkan mereka, dan mengampunkan dosa mereka, serta menjadikan negeri mereka makmur semula.”  2 Tawarikh 7:14

“Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu.” Mazmur 86:5

“Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu.” Markus 11:25

“Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.” Efesus 4:32

“Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah.” 1 Yohanes 1:9

“TUHAN berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya.” Yesaya 1:18

“Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu.” Yesaya 43:25

“Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka.” Yeremia 31:34

“Kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah.” Efesus 1:7

 

Janji-Janji Untuk Kemenangan Atas Dosa

“Kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita.” 1 Yohanes 5:4

“Tidak! Dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita!” Roma 8:37

“Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita!” 1 Korintus 15:57

“Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.” Yesaya 41:10

“Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.” Efesus 6:16

“Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku.” Galatia 2:20

“Kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” Filipi 2:13

“Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia.” Galatia 5:16

“Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu!” Roma 16:20

“Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna.” Roma 12:2

“Janganlah kasihi dunia ini, atau segala sesuatu di dunia ini. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa.” 1 Yohanes 2:15

 

Janji-Janji Untuk Penyembuhan

“Dia berfirman, “Jika kamu sungguh-sungguh mentaati Aku, TUHAN, Allah kamu, dengan melakukan apa yang benar di sisi-Ku, serta menurut segala perintah-Ku, Aku tidak akan menghukum kamu dengan penyakit yang Aku timpakan kepada orang Mesir. Akulah TUHAN yang menyembuhkan kamu.” Keluaran 15:26

“Semoga kota-kotanya dilindungi oleh pintu gerbang besi, semoga hidupnya sentiasa aman dan tenteram.” Ulangan 33:25

“Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan jangan lupa akan kebaikan-Nya. Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku; Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat; Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik, sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang.” Mazmur 103:2-5

“Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan. Perbuatanmu itu akan menjadi seperti ubat yang menyembuhkan luka-lukamu dan menyegarkan badanmu.” Amsal 3:7,8

“Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia;kita pun tidak mempedulikan dia. Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya.” Yesaya 53:3-5

“Ya TUHAN, sembuhkanlah aku, supaya aku sihat. Selamatkanlah aku, agar aku selamat. Engkau sahaja yang aku puji!” Yeremia 17:14

“Walaupun musuh kamu berkata, ‘Sion telah dibuang, dan tiada yang mempedulikannya,’ namun Aku akan menjadikan kamu sihat kembali, dan luka-luka kamu akan Kuubati.” Yeremia 30:17

“Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka.” Yeremia 33:6

“Tetapi bagi kamu yang taat kepada-Ku, kuasa-Ku yang menyelamatkan kamu akan terbit seperti matahari, dan kuasa-Ku itu akan memberikan kesembuhan seperti sinar matahari. Kamu akan bebas dan gembira seperti anak lembu yang dikeluarkan dari kandang.” Maleakhi 4:2

“Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan. Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan.” Yakobus 5:14, 15

 

Janji-Janji Untuk Kekuatan Untuk Melakukan Kehendak Tuhan

 “Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya,  berharaplah kepada TUHAN!” Mazmur 27:14

“Itulah sebabnya kami tidak tawar hati. Meskipun tubuh kami ini menjadi reput, tetapi batin kami dibaharui setiap hari. Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu. Hal itu demikian kerana kami menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan. Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya.” 2 Korintus 4:16-18

“Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya.” Galatia 6:9

“Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.” Filipi 4:13

“kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” Filipi 2:13

“Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.” 2 Korintus 12:19

 

Janji-Janji Mengenai Menjadi Saksi-Saksi Tuhan

“Janganlah takut, hai umat-Ku! Kamu tahu bahawa sejak dahulu hingga sekarang Aku telah bernubuat tentang segala yang akan berlaku; kamulah saksi-saksi-Ku. Selain Aku, tiada yang lain, dan tiada pelindung lain yang belum Aku ketahui.” Yesaya 44:8

“Bangkitlah, dan bersinarlah, hai Yerusalem, kerana cahaya penyelamatanmu sudah datang; TUHAN menyinari engkau dengan kemuliaan-Nya.” Yesaya 60:1

“Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga.” 2 Korintus 5:18

“Tetapi TUHAN menjawab, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu.” Yeremia 1:7

“Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.” Kisah Para Rasul 1:8

“Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri. Allah memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang.” 1 Petrus 2:9

“Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki.” 1 Petrus 3:15

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s